Banyak penipuan dalam PRU14


 PETALING JAYA - Dakwaan wujud unsur penipuan membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa PRU14 menyebabkan ramai calon Pakatan Harapan (Harapan) tewas.

Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad berkata, kes penipuan itu antara agenda utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dijalankan di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

"Ada yang sesetengahnya kita sudah menang, tiba-tiba datang peti undi lain dan dengan peti undi lain itu kita kalah.

"Ada kes undi rosak berjumlah antara 700 hingga 800 undi, takkanlah rakyat Malaysia begitu bodoh. Itu sebab prestasi kita tak begitu baik walaupun kita masih gembira dengan kemenangan pada PRU14," katanya.

Menurutnya kemenangan tersebut adalah perkara yang tidak dijangka ramai pihak termasuk media dan perkara yang perlu dibanggakan adalah peralihan pemerintahan berlaku tanpa sebarang keganasan.

Mengulas mengenai kedudukan terkini Pengerusi SPR, Tan Sri Mohamad Hashim Abdullah, Mahathir berkata, beliau difahamkan Hashim akan meletak jawatan dalam masa terdekat.

"Tapi jika betul dia melakukan sebarang kesalahan, tindakan akan diambil ke atasnya mengikut undang-undang negara," katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, agenda lain yang dibincangkan dalam mesyuarat lebih tertumpu kepada isu kemasukan baharu ahli parti tersebut.

"Selepas pilihan raya ramai orang berminat sertai Bersatu, antara mereka adalah ahli Umno, kita akan tentukan mereka boleh sertai kita apabila mereka isytihar keluar daripada Umno menjadi bebas dan kemudian nyatakan pendirian mereka kepada kerajaan Harapan, kemudian baru kita boleh pertimbangkan kemasukan mereka.

"Hakikatnya sebelum kita menang, orang kurang minat sertai Bersatu, tapi kini setiap hari lebih kurang 1,000 orang minat utk sertai kita. Kita alu-alukan hasrat mereka untuk jadi ahli.

"Selain itu kita juga bincang mengenai apa perjuangan sebenar Bersatu supaya orang ramai tahu mengenai parti ini dan perjuangannya," katanya.

No comments:

Post a Comment