Najib tawar diri pertahan ketua bahagian Pekan


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menawarkan diri untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan dalam pemilihan kali ini.

Beliau mengakui bertanggungjawab dalam kekalahan parti itu pada PRU14 lalu namun menegaskan perjuangan parti itu perlu diiteruskan.

“Kepada ahli-ahli Umno, teruskan perjuangan parti keramat ini. Sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam PRU 14.

“Bagi diri saya pula, saya akan terus memimpin Umno Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan,” katanya  melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, sebentar tadi.

Pada 12 Mei lalu, Najib mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN serta merta selepas BN tewas dalam PRU14.

Menurut Najib, ahli Umno perlu bangkit dan memperbaiki kelemahan untuk menyuburkan sekaligus memulihkan parti.

“Kita kena bangkit dan masa untuk bersedih telah berlalu. Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan Umno agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

“Ahli Umno hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan Umno,” katanya yang kini banyak meluangkan masa bersama keluarga susulan terlalu sibuk dengan urusan negara selama ini.

Beliau juga akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan terhadapnya.

“Saya juga akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadap saya, yang sebenarnya bersifat dendam politik. Setakat ini, saya telah dua kali memberi keterangan kepada SPRM.

“Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya,” katanya yang akan beraya di Pekan, minggu depan.

No comments:

Post a Comment